Nikmat Iman & Islam

Nikmat Paling Besar ialah Iman & Islam
Allah Subhanahu wa Ta'ala memberikan pelbagai nikmat kepada manusia yang tidak terhitung banyaknya. Tetapi masih ramai manusia yang tidak bersyukur kepada Allah SWT terhadap pemberian nikmat ini. Dialah Dzat yang Maha Suci, yang mengurniakan berbagai kenikmatan, seperti nikmat pendengaran dan penglihatan ketika adanya manusia selain kita yang tidak dapat merasainya.

Dialah yang memberikan kenikmatan akal fikiran, kesihatan, harta kekayaan dan sebagainya. Bahkan Allah SWT telah memberikan kesemua nikmat ciptaan-Nya yang ada di langit dan di bumi untuk kehidupan kita di alam dunia ini.
“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, kamu tidak akan mampu menghitungnya.”
(Surah An-Nahl: Ayat 18)

Tetapi semua kenikmatan tersebut akan berakhir seiring dengan kehidupan kita yang sementara. Adapun satu-satunya nikmat yang akan memberikan kita kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat kelak adalah nikmat hidayah Iman dan Islam. Inilah pemberian nikmat yang paling berharga daripada Allah SWT kepada hamba-hamba pilihanNya di antara nikmat-nikmat yang lain.

Allah SWT menegaskan bahawa nikmat hidayah Iman dan Islam dari-Nya adalah nikmat paling utama dari nikmat-nikmat lainnya. Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman,
"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Aku redhai Islam sebagai aturan hidupmu
(Surah Al-Maidah: Ayat 3)

Betapa besar nikmat Allah SWT ke atas seseorang itu ketika Dia mengeluarkannya dari dunia kegelapan kepada Nur Islam. Itu semua untuk mencapai tujuan utama penciptaan manusia di dunia ini iaitu hanya menyembah kepada Allah SWT. Melalui itu manusia akan mendapat kebahagiaan dan ketenangan di dunia serta ganjaran syurga yang kekal abadi di akhirat nanti.


Baginda Rasulullah SAW telah memperlihatkan ketegasan dalam mempertahankan keimanan dan keislaman Baginda berbanding dengan mementingkan ganjaran keduniaan semata mata.Ini dibuktikan dengan sabda Baginda:

"Demi Allah, wahai bapa saudaraku, jika mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku, supaya aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, sesungguhnya aku tidak akan berhenti sehingga Allah memberi kemenangan untuknya atau aku mati bersamanya".

Sekiranya kita meletakkan kepentingan Iman dan Islam sebagai suatu yang tidak penting serta memandang remeh, maka hilanglah nikmat Iman dan Islam dalam diri kita. Kemudian akan tiba masanya kita akan merasai kesempitan, kesengsaraan dan kesusahan dalam kehidupan di dunia. Jika tiada keinsafan diri yakni taubat kepada Allah SWT dilakukan nescaya kita akan mendapat azab yang pedih di alam akhirat nanti. Firman Allah SWT:
"Barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit."
(Surah Taha: Ayat 124).